Saturday, December 26, 2009

Kunjungan Hormat kepada TYT

20 September 2006 - Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGOs) Islam Negeri Sabah telah mengadakan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah pada 20 September 2006 (Rabu). Kunjungan hormat itu bertujuan menyerahkan resolusi Forum Syariah dan Isu Semasa yang dianjurkan pada pada 13 Ogos 2006 (Ahad) di Masjid Negeri, Kota Kinabalu yang disertai 1500 orang mewakili 30 Badan Bukan Kerajaan. Antara kandungan resolusi tersebut ialah;

1. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah menguatkuasakan undang–undang Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah yang berkaitan dengan isu murtad dengan lebih tegas dan bersungguh-sungguh.2. Menggesa Kerajaan Negeri Sabah mempercepatkan penubuhan dan pewartaan Pusat Pemulihan Aqidah sebagai pusat tahanan selaras dengan keperluan dalam Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sabah.3. Meminta Kerajaan memasukkan peruntukan dalam undang-undang Negeri Sabah berhubung hukuman bagi sesiapa yang didapati mendakyah agama lain kepada orang Islam untuk menukar agama.4. Menggesa agar satu sistem pemantauan gejala murtad dilaksanakan oleh pihak berwajib. 5. Meminta kerajaan menubuhkan segera institusi/pusat yang bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan anak-anak mangsa gejala murtad. Pada masa yang sama pusat ini akan dapat menampung keperluan saudara baru.
2. Selain resolusi tersebut, kunjungan tersebut menyerahkan memorandum khusus berkaitan arahan YAB Perdana Menteri yang meminta agar usaha-usaha penyebaran agama lain kepada umat Islam di Negara ini dihentikan. Memorandum tersebut adalah sebagai sokongan padu kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Y.A.B Datuk Musa Haji Aman, Ketua Menteri Sabah untuk menggubal segera undang–undang bernama Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan perkembangan di kalangan orang Islam) serta meluluskannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri akan datang. Penggubalan undang-undang ini adalah penting bagi memenuhi tuntutan berikut:
2.1 Resolusi Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 13 Ogos 2006 di Masjid Negeri Sabah.
2.2 Kenyataan Y.A.B Perdana Menteri pada 23 Ogos 2006 yang meminta Negeri Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan untuk menggubal dan meluluskan undang-undang tersebut dengan segera berdasarkan peruntukan Perkara 11(4).
2.3 Menegaskan ketinggian Islam sebagai agama rasmi negara Malaysia dan negeri Sabah.
2.4 Menghilangkan keraguan dan kekeliruan dalam kalangan non-Muslim agar tidak lagi menjalankan kegiatan mendakyah agama kepada umat Islam.
2.5 Melahirkan suasana harmoni dan muhibbah dalam masyarakat berbilang agama dalam negara.
3. Undang-undang berkenaan hendaklah mengandungi perkara-perkara yang berikut, iaitu; Pertama, mana-mana orang sama ada beragama Islam atau tidak yang mengembangkan sebarang ajaran atau kepercayaan agama yang lain daripada ajaran atau kepercayaan mengikut agama Islam kepada atau antara orang-orang yang beragama Islam hendaklah menjadi satu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah; Kedua boleh dihukumkan dengan penjara tidak lebih daripada setahun atau dengan denda yang setimpal.Kami juga mencadangkan agar langkah pendidikan kesedaran tentang undang-undang tersebut dibuat secara meluas agar semua pihak menyedarinya, dan seterusnya dikuatkuasakan. Jika ini dapat dibuat segera, hal ini akan membantu meredakan kebimbangan yang timbul berkaitan dengan kedudukan Islam dan hak beragama di negara kita. Ini akan menjamin berkekalannya kestabilan dan keharmonian beragama di negara ini. Hal ini tidak bermaksud menutup ruang perbincangan dan menyuarakan aduan pelanggaran hak yang sahih bagi rakyat yang bukan beragama Islam.
4. Kunjungan hormat tersebut telah disertai 22 orang mewakili NGOS beraspirasikan Islam termasuk ABIM, Yayasan Amal Malaysia, Persatuan Peguam Pembela Islam, Wadah Pencerdasan Umat (WADAH), Pergerakan Puteri Islam Malaysia, Persatuan Ulama Malaysia, PERTIWISA, Teratak Fitrah, Persatuan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Persatuan SAMA Sabah (PSS), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Persatuan Bisaya Bersatu Sabah, Kesatuan Melayu Bugis Kota Kinabalu (KECAPI), Persatuan Siswazah Islam Sabah, Persatuan Siswazah Sabah, Jawatankuasa Masjid Negeri dan Teratak Fitrah.
5. Sehubungan dengan itu dalam isu Pope Benedict XVI, Gabungan NGOs Islam Sabah turut menyatakan rasa kecewa dan kesal kerana Pope Benedict XVI sendiri masih belum menarik balik kata-katanya yang menghina Islam dan Nabi Muhammad s.a.w dalam ucapan yang disampaikan di Jerman pada 12 September 2006 yang lalu. Kenyataan yang dangkal itu sama sekali tidak membantu membina usaha-usaha menggalakkan dialog antara penganut Kristian dan Islam sebagaimana dibuat oleh Pope John Paul II.
6. Amat malang Pope itu hanya memetik perbualan Maharaja Kristian Empayar Byzantine, Manuel Paleologos II dengan cendekiawan Parsi mengenai kebenaran agama Islam dan Kristian, tetapi mengabaikan pandangan jujur penulis Michael H. Hart dalam bukunya The 100 A Ranking of the Most Influential Persons in History yang ternyata lebih berwibawa, yang telah meletakkan Nabi Muhammad sebagai manusia nombor satu mengatasi semua tokoh agama daripada Jesus Christ, Buddha, Pope Urban II, Michelangelo, Confucius, Lao Tzu hingga kepada tokoh-tokoh lain dalam sejarah manusia dari segi kewibawaan akhlak dan kehebatan pengaruh dalam semua aspek. Malah Manuel Paleologos II yang dipetiknya itu tidak pun termasuk dalam senarai 100 manusia berpengaruh itu, maka siapalah maharaja tersebut?
7. Sejarah membuktikan bahawa Islam tersebar bukan dengan kekuatan pedang tetapi dengan hikmah Nabi Muhammad, para sahabat dan para pendakwah dan pejuang menyampaikan risalah Islam yang suci murni yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran bahawa “tiada paksaan dalam agama”, “bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” Jika sejarah Islam dikaji dengan jujur, peperangan adalah pilihan terakhir untuk mempertahankan diri dan maruah. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa di Mekah mahu pun di Madinah. Di Madinah golongan ahlul-kitab yang terdiri daripada penganut-penganut Kristian dan Yahudi bebas mempraktikkan agama dan adat resam masing-masing. Sikap muhibbah orang-orang Islam jelas terbukti di mana-mana selepas itu dan paling jelas penyebaran Islam di Alam Melayu langsung bukan melalui peperangan tetapi dengan pendekatan dakwah penuh hikmah.
8. Dalam siri peperangan, arahan jelas oleh Nabi dan diteruskan oleh pengganti Baginda bahawa tidak boleh membunuh kanak-kanak, wanita, orang tua dan cacat kecuali jika mereka melawan. Harta benda, tanaman, rumah ibadat dan para rahib yang beribadat di dalamnya tidak boleh diusik. Sejarah Perang Salib selama 300 tahun membuktikan ketinggian, kemuliaan, keberanian dan penepatan janji dan sifat-sifat terpuji tentera Islam yang belum pernah disaksikan sebelumnya oleh masyarakat Kristian. Begitu juga bukti-bukti semasa pemerintahan Islam di Sepanyol selama 800 tahun, agama Kristian dan Yahudi bebas diamalkan tanpa gangguan. Tetapi keadaan itu musnah sama sekali apabila Raja Ferdinand dan Ratu Isabella mengalahkan pemerintahan Islam melalui gerakan Reconquista yang berakhir pada tahun 1492. Orang Yahudi dan Islam dipaksa memeluk agama Kristian, sebarang penentangan berakhir dengan pengusiran, penyiksaan dan pembunuhan. Pada zaman sekarang, umat Islam Bosnia dan Iraq hanyalah contoh kecil bagaimana umat Islamlah yang sebenarnya diperangi.
Dengan itu kenyataan Pope Benedict XVI amatlah tidak tepat dan perlu ditarik balik demi membina hubungan harmoni jangka panjang antara penganut Kristian dan Islam.
Dikeluarkan oleh
MUDDIN BETINGYang Dipertua ABIM Sabah Merangkap Pengerusi NGOs Islam Negeri Sabah

No comments:

Post a Comment