Tuesday, February 7, 2012
Panduan Hidup
Al-Quran sebagai panduan hidup, sumber rujukan utama
Oleh Hizbur Rahman
bhagama@bharian.com.my
2012/02/07
Pembaca, penghafaz patut selami maksud ayat suci
Al-QURAN ialah Kitabullah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan adalah ‘senjata’ paling mujarab, ubat yang paling mustajab dalam menyelesaikan segala permasalahan kehidupan. Di dalamnya penuh dengan nur hidayah, rahmat dan zikir-zikir serta panduan.
Sebagai kitab wahyu yang dipenuhi mukjizat dan keagungan yang tiada tolak bandingnya dengan kitab yang lain, maka bagi mengekalkannya dalam kehidupan kita, ia perlu dijaga dengan sentiasa membaca dan menghafal serta memahami isi kandungannya agar berada di dalam jiwa dan hati setiap muslim. Firman Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 9 bermaksud, “Sesungguhnya Kamilah (Allah SWT) yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”
Rasulullah SAW menggesa umatnya agar sentiasa membaca al-Quran dan mendalami dari segi bacaannya. Abu Zar RA pernah berkata bahawa beliau meminta Rasulullah SAW memberi pesanan yang berpanjangan, Rasulullah SAW bersabda:
“Semaikan perasaan takwa kepada Allah SWT kerana ia adalah sumber kepada amalan-amalan baik. Aku meminta supaya Baginda menambah lagi, tetapkanlah membaca al-Quran kerana ia adalah nur untuk kehidupan ini dan bekalan untuk akhirat.”
Kita dapati sahabat Rasulullah seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud, Ubay bin Kaab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat. Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dulu juga mewajibkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak.
Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai. Ini membuktikan mereka sangat mengambil berat mengenai pembacaan dan pendidikan al-Quran.
Banyak hadis yang menjelaskan keistimewaan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis qudsi yang mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepada-ku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makhluk-Nya.”
Dalam satu hadis lain yang bermaksud:
“Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya. Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala.”
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajipan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi `alif’ satu huruf dan `lam’ satu huruf dan `mim’ satu huruf. ” (Riwayat Tirmizi)
Mereka membaca al-Quran juga akan dinaikkan darjatnya di sisi Allah SWT seperti yang dikatakan oleh Amr bin Ash:
“Barang siapa membaca al-Quran maka mereka akan dinaikkan ke darjat di kanan dan di kiri para nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka saja. Muka pembaca al-Quran sentiasa berseri-seri, sentiasa dalam keadaan tenang dan kehidupannya dirahmati dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT. Ketika berada di alam kubur diluaskan kedudukannya serta mendapat syafaat di akhirat nanti.
Hadith Rasulullah SAW:
“Bacalah kamu akan al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya”. (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan sahabat yang membaca al-Quran dan yang menghafal dibandingkan dengan sahabat yang lain. Ini dibuktikan dengan tindakan Rasulullah SAW apabila menghantar sesuatu utusan, baginda akan memilih daripada kalangan sahabat yang banyak menguasai al-Quran sebagai pemimpin.
Begitu juga ketika berhimpunnya para syahid yang terkorban untuk dikebumikan, Rasulullah SAW sendiri menguruskannya sehingga ke liang lahad dengan mendahului para syahid yang hafaz di kalangan sahabatnya.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dibaca, difahami dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Namun persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku bibir dan kelu lidahnya untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan keras hati apabila terdengar ayat al-Quran.
Mereka lebih gemar mengalunkan dan mendengar nyanyian lagu yang melalaikan berbanding ayat al-Quran. Tidak kurang pula ada dikalangan kita yang hanya berbangga dengan menggantung ayat-ayat al-Quran yang mahal-mahal sebagai hiasan tanpa memahami erti dan pengajaran darinya. Lebih-lebih lagi amalan menggantung ayat al-Quran tertentu, kononnya sebagai pelaris perniagaan.
Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya membaca al-Quran sebagai gaya hidup. Kita mesti yakin bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.
Janganlah kita hanya membaca al-Quran pada masa tertentu saja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat kematian atau pada hari tertentu saja.
Ibu-bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas solat Maghrib sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
Mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang disediakan secara berguru. Di samping itu mempelajari al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.
Mengakhiri artikel pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 45 bermaksud: “Dan apabila kamu membaca al-Quran, Kami jadikan antaramu dan orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu, suatu dinding yang tertutup.”
sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Al-Quransebagaipanduanhidup_sumberrujukanutama/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment