Saturday, February 25, 2012

macam2




Konflik perkauman di Sabah: Isu bumiputera dan pendatang asing dari perspektif sosialis


Oleh Muhammad Salleh (Disember 2001)


Di merata dunia, dari Britain ke Bosnia, Itali ke Malaysia, konflik perkauman telah menjadi bahasa rasmi bagi perdebatan politik, lalu menggantikan konsep-konsep seperti penindasan dan fahaman bangsa. Tetapi memandang dunia melalui cermin perkauman ini sebenarnya menyembunyikan isu-isu penindasan, lalu memendamkan cara unsur-unsur perkauman ditekankan terhadap penduduk tempatan oleh kuasa-kuasa kelas pemerintah.

Konsep penindasan adalah konsep yang penting bagi pemahaman Marxsis mengenai sejarah dan masyarakat moden. Ia merujuk kepada diskriminasi secara sistematik oleh satu kumpulan sosial terhadap kumpulan sosial yang lain berdasarkan ciri-ciri yang diwarisi seperti warna kulit dan jantina atau ciri-ciri yang dipupuk dari segi sosial seperti kepercayaan agama dan orientasi seksual. Penindasan seperti ini berlaku tanpa mengira garisan kelas, walaupun pengalaman penindasan mungkin lebih kejam lagi berdasarkan struktur kelas sesebuah masyarakat. Penindasan kaum perempuan, misalnya, telah wujud sepanjang kewujudan masyarakat kelas, manakala penindasan kaum-kaum agama adalah terhad kepada sistem kapitalis. Walau apapun sebab-sebabnya, kelas-kelas pemerintah telah melancarkan penindasan terhadap kumpulan-kumpulan tertentu untuk memastikan pembahagian dan pemisahan di kalangan mereka yang diperintah. Sekian lama, kumpulan-kumpulan tertentu telah mengalami penindasan disebabkan bangsa mereka. Corak penindasan ini memang jelas kelihatan di bawah sistem ‘kebumiputeraan’ di Malaysia, dan rencana ini akan membincangkan isu-isu bumiputera dan penindasan kaum di Malaysia, terutamanya di negeri Sabah.

Oleh kerana isu-isu yang dipertimbangkan di sini mungkin disalah-fahami, biarlah saya menjelaskan tujuan rencana ini. Isu-isu ‘bangsa’ atau perihal yang berkenaan dengan suku kaum seseorang biasanya disamakan dengan adat resam, seringkali dengan adat resam golongan-golongan minoriti. Tujuan saya bukanlah untuk mengutuk kepelbagaian bangsa dan adat resam, dan sudah tentu bukanlah untuk menyeru pihak sosialis atau mana-mana kumpulan yang lain mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mempertahankan masyarakat di mana adat resam mereka diancam, atau mana-mana masyarakat lain yang mengalami penindasan. Pada abad yang lalu, Vladimir Lenin telah menekan kepentingan pihak sosialis mengutarakan isu-isu penindasan dengan kata-kata yang masih penting pada hari ini: “Kesedaran kelas pekerja hanya dapat menjadi kesedaran politik yang tulin jika para pekerja dilatih untuk memberi tentangan kepada setiap kes kezaliman pemerintah, penindasan, keganasan dan kekerasan, tanpa mengira kelas mana yang diakibatkan – hanya jika mereka dilatih, lebih-lebih lagi, untuk memberi tentangan dari pandangan demokrasi sosial [iaitu, sosialis revolusioner] dan bukannya pandangan yang lain.”  Maka, bagi pihak sosialis, tidak terdapatnya perbezaan jika kumpulan-kumpulan tertentu ditindas kerana bahasa, agama, kewarganegaraan atau suku kaum mereka. Dalam setiap kes, tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan mereka yang ditindas dan menunjukkan perpaduan dengan mereka.

Kebumiputeraan di Malaysia
Sejak beberapa lama, kerajaan Barisan Nasional yang berpusat di Kuala Lumpur telah mengajukan dan meluaskan polisi-polisi perkauman yang mendapat ruang yang cukup luas dalam media massa tempatan. Misalnya, syair Cecil Rajendra, bertajuk The Kingdom of Purplaya ,yang diterbitkan baru-baru ini, menimbulkan kontroversi apabila beberapa kumpulan Melayu mendakwa bahawa penyair tersebut mencela kaum Melayu dan mencabar hak-hak istimewa kaum tersebut sebagai kaum ‘asal di Malaysia.’ Sambil Rajendra menafikan dakwaan-dakwaan ini, karya tersebut telah diterbitkan dan disebarkan luas oleh beberapa akhbar tempatan, termasuklah Utusan Malaysia.

Apakah asal-usul hak-hak keistimewaan kaum ‘bumiputera’ ini? Dari segi sejarah, semasa kemerdekaan pada tahun 1957, kaum Melayu telah membuat perjanjian yang meneraskan ‘keistimewaan’ bagi kaum mereka lalu ‘menghadiahkan’ status kewarganegaraan kepada kaum-kaum bukan Melayu (perjanjian ini juga melibatkan keutamaan ekonomi bagi kaum Cina). Pada masa itu, ia dipersetujui bahawa “sesiapa yang dilahirkan di Persekutuan Malaya pada atau selepas Hari Merdeka (31hb Ogos, 1957) akan menjadi rakyat dari segi undang-undang.” Namun demikian, Artikel 159 dalam perlembagaan Malaysia telah digunakan untuk mengutamakan ‘hak-hak istimewa’ bagi kaum Melayu dan kaum-kaum peribumi. Artikel tersebut adalah berkenaan dengan tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan kedudukan khas kaum Melayu dan warga-warga kaum peribumi di negeri Sabah dan Sarawak. ‘Kedudukan khas’ ini diterajui oleh kerajaan-kerajaan Malaysia, termasuklah kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa pada hari ini. Tujuannya adalah untuk memastikan ‘keistimewaan’ bagi golongan bumiputera, termasuk kaum Melayu dan kaum-kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, dalam pertubuhan-pertubuhan pendidikan seperti universiti, perkhidmatan awam, pekerjaan dalam firma-firma kerajaan dan dalam permohonan lesen atau pinjaman wang bagi perniagaan.

Melalui pindahan akta dan penggubahan perlembagaan sejak itu, kerajaan Malaysia telah memajukan konsep kewarganegaraan pada tahap persekutuan yang sebenarnya berdasarkan fahaman perkauman. Misalnya, Pindaham Perlembagaan 1971 dan pindahan-pindahan yang berikutan telah meletakkan kaum Melayu pada kemuncak hierarki perkauman. Jika dikaji secara global, polisi ini begitu berbeza daripada polisi-polisi yang agak mirip di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, di mana ‘keistimewaan’ telah diberikan kepada kaum-kaum minoriti berdasarkan diskriminasi bersejarah. Di Amerika Syarikat, misalnya, mekanisme tersebut pernah digunakan (kononnya) untuk memperbaiki kekurangan perwakilan kumpulan-kumpulan minoriti yang tertindas.

Konsep kewarganegaraan yang berteraskan perkauman Melayu sudah lama mengancam kumpulan-kumpulan bumiputera yang lain, termasuklah kaum Iban di Sarawak dan kaum Kadazan-Dusun di Sabah, serta kaum-kaum bukan Melayu di Semenanjung Malaysia, seperti Orang Asli. Hak-hak keistimewaan ini menjadi isu hangat apabila memorandum kumpulan Su Qiu, yang dikeluarkan sebelum pilihanraya umum pada tahun 1999, menentang hak-hak keistimewaan tersebut, sambil mempertengahkan isu-isu keadilan sosial, pembahagian kekayaan negara, pembanterasan rasuah, dan sebagainya. Isu bumiputera juga mendapat paparan berkali-kali dalam akhbar tempatan berkenaan dengan kuota bumiputera dan bukan bumiputera bagi jawatan Ketua Menteri Sabah.

Berkenaan khusus dengan Sabah dan Sarawak, oleh kerana kaum Kadazan-Dusun dan kumpulan-kumpulan peribumi yang lain adalah kaum ‘bumiputera’ di negeri-negeri masing-masing, mereka berhak menerima polisi-polisi keistimewaan bukan sahaja di negeri mereka sendiri tetapi juga di Semenanjung Malaysia. Misalnya, Bahagian V dari Artikel 41 Perlembagaan Negeri Sabah adalah berkenaan dengan perihal yang mempertahankan kedudukan kaum-kaum peribumi.  Kaum-kaum peribumi dalam erti kata ini sebenarnya memaksudkan kaum-kaum seperti Kadazan-Dusun, Murut, Bajau, Suluk, Orang Sungai dan kaum peribumi yang lain di Sabah. Ia tidak melindungi kumpulan-kumpulan lain yang berhijrah ke Sabah selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963, seperti kaum Melayu, Cina dan India dari Semenanjung Malaysia, dan pendatang-pendatang asing dari Filipina dan Indonesia.

Penghakisan hak-hak kaum peribumi Sabah
Walaupun kaum Kadazan-Dusin di Sabah patut diberikan keistimewaan dalam teori, dari segi amalan hak-hak kewarganegaraan kaum-kaum tersebut semakin dihakis. Ramai pemimpin parti-parti pembangkang di Sabah mendakwa bahawa hak-hak kaum-kaum peribumi tertentu tidak diberikan keutamaan, dan isu ini telah menjadi pertikaian semasa pilihanraya umum dalam beberapa tahun yang lalu. Bahkan terdapat juga golongan-golongan tertentu di Sabah yang mendakwa bahawa kaum Melayu dilayani sebagai bumiputera kelas pertama sambil kaum Kadazan-Dusun dan kaum-kaum peribumi yang lain dilayani sebagai bumiputera kelas kedua.  Dakwaan-dakwaan hierarki kewarganegaraan ini adalah berdasarkan pengalaman diskriminasi atau pemungkiran janji oleh kerajaan yang menjanjikan kaum-kaum itu hak-hak istimewa setanding dengan kaum Melayu.

Kaum Kadazan-Dusun berpendapat bahawa mereka berhak menikmati polisi-polisi keistimewaan kerana ini menjadi salah satu syarat bagi Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963. Misalnya, keistimewaan bagi bumiputera Kadazan-Dusun sepatutnya diberikan dalam pertubuhan-pertubuhan pendidikan dan pusat-pusat pendidikan tinggi, serta dalam birokrasi kerajaan.  Sebenarnya, tuntutan-tuntutan seperti ini adalah berdasarkan dakwaan bahawa kaum peribumi di Sabah, termasuklah kaum Kadazan-Dusun, adalah ‘kaum pertama’ yang menjejak kaki di Sabah dan, oleh kerana itu, berhak menerima keistimewaan. Dakwaan ini tidak dapat difahami berpandukan garisan agama semata-mata (misalnya, agama Kristian menentang agama Islam) kerana pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang di Sabah mengambil langkah untuk mengumumkan bahawa kaum-kaum peribumi di Sabah (dalam pengertian mereka) juga melibatkan kumpulan-kumpulan Islam seperti Orang Sungai, Bajau dan Suluk. Meskipun itu, dakwaan bahawa sesebuah kaum peribumi berhak menerima keistimewaan kerana mereka adalah ‘kaum pertama’ di sesebuah tempat adalah perdebatan yang merbahayakan. Misalnya, dakwaan yang hampir serupa digunakan oleh kerajaan Yahudi di Timur Tengah untuk menindas rakyat Palestin dan menduduki negara mereka.  Ini bukanlah sama dengan mengatakan bahawa parti-parti pembangkang haluan utama di Sabah ingin memerdekakan Sabah dari Malaysia; sebaliknya, perdebatan saya adalah bahawa politik berdasarkan perkauman adalah tipu-helah yang digunakan oleh ahli-ahli politik pembangkang Sabah untuk mendapat sokongan daripada kaum-kaum peribumi Sabah.

Meskipun ini, pemimpin-pemimpin dan akaliah-akaliah Kadazan-Dusun mendakwa bahawa pegawai-pegawai kerajaan seringkali mentafsirkan ‘keistimewaan bagi bumiputera’ sebagai bermaksud keistimewaan bagi kaum Melayu-Islam, lalu mengetepikan kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Ini memang jelas kelihatan apabila kaum Kadazan-Dusun dan kaum-kaum peribumi dari Sabah dan Sarawak menuntut kelayakan bumiputera di Semenanjung Malaysia. Mereka mendapati bahawa kaum Melayu dianggap sebagai rakyat pertama, dan kaum-kaum lain sebagai rakyat bawahan atau rakyat kedua. Oleh yang demikian, ia didakwa bahawa hak-hak kewarganegaraan kaum-kaum peribumi di Sabah (dan juga Sarawak) sedang dihakis.

Dari Semenanjung ke Sabah
Selepas kemerdekaan, kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur mencuba menekan kemajuan pada tahap yang sama-rata bagi setiap negeri melalui perbadanan-perbadanannya. Namun, salah satu akibat daripada usaha ini adalah keengganan kumpulan-kumpulan tertentu di Sabah dan Sarawak untuk menerima ‘pendatang asing.’ Keadaan ini dilanjutkan oleh polisi-polisi kerajaan di mana salah satu golongan diberikan keutamaan sebelum golongan yang lain. Seringkali, kaum-kaum Kadazan-Dusun di Sabah menganggap penghijrah dari Semenanjung Malaysia sebagai penghijrah dari negara asing. Ini tidaklah menghairankan apabila kita meneliti sistem kerajaan di Malaysia, di mana kerajaan tempatan (misalnya, di Sabah) dibenarkan mengutarakan polisi-polisi pentadbiran yang agak berbeza daripada polisi-polisi kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur.

Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963 dengan syarat-syarat khas yang digubahkan untuk mempertahankan negeri tersebut berkenaan dengan hal-hal seperti keagamaan, kedudukan kaum peribumi dan bumiputera, bahasa, pendidikan dan lain-lain.  Salah satu daripada pertahanan ini adalah kawalan imigrasi, di mana pertahanan disediakan agar kaum-kaum peribumi tidak diketepikan sambil penghijrah dari Semenanjung Malaysia yang mempunyai pendidikan dan latihan yang lebih baik membanjiri negeri itu. Namun, salah satu kajian yang terdapat dalam buku Jeffrey Kitingan bertajuk The Sabah Problem menunjukkan bahawa hanya 19 daripada 89 jabatan persekutuan di Sabah pada tahun 1989 diketuai oleh penduduk Sabah; jabatan-jabatan lain diketuai oleh penghijrah-penghijrah dari Semenanjung Malaysia.  Jelasnya, kawalan-kawalan imigrasi yang diwujudkan untuk ‘mempertahankan’ Sabah daripada dibanjiri penghijrah dari Semenanjung Malaysia tidak berfungsi dengan baik.

Lebih-lebih lagi, kedudukan perlembagaan bagi imigrasi di Sabah dan Sarawak yang begitu rumit tidak menyenangkan isu ini. Menurut Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan, Sabah dan Sarawak dibenarkan mengawal imigrasi ke dalam negeri-negeri tersebut.  Maka, di bawah perintah Parlimen, seseorang mungkin dihalang daripada memasuki Sabah atau Sarawak, atau sebaliknya, dibuang negeri dari kedua-dua negeri itu. Misalnya, seorang aktivis dari Switzerland, Bruno Manser, pernah dibuang negeri dari Sarawak apabila menyuarakan masalah-masalah kaum Penan.  Serupa dengan ini, Tan Seng Hin dibuang negeri dari Sarawak pada bulan Januari 2001, walaupun sudah menetap di negeri tersebut selama 23 tahun.  Kadang-kala, undang-undang ini digunakan untuk menghalang penduduk tempatan dari Sabah dan Sarawak meninggalkan negeri-negeri tersebut. Misalnya, pada bulan Ogos 1993, pasport seorang aktivis dari Sarawak, Jok Jau Evong, dirampas oleh Jabatan Imigrasi, kerana dia didakwa berkelakuan dengan cara yang tidak berpatutan dengan “kepentingan negara.” Jok, seorang petani, terlibat dalam kempen anti-pembalakan dan pernah mendakwa bahawa kerajaan Malaysia sedang memusnahkan alam sekitar dengan pembalakan tanpa kawalan.  Kuasa-kuasa kerajaan persekutuan untuk melarang seseorang daripada memasuki atau meninggalkan Sabah dan Sarawak di bawah Akta Imigrasi, serta keperluan rakyat Semenanjung Malaysia untuk memohon kebernaran bertulis untuk memasuki negeri-negeri tersebut, bermaksud bahawa rakyat Semenanjung Malaysia seringkali dianggap sebagai ‘pendatang asing.’

Oleh yang demikian, konsep kewarganegaraan pada tahap negeri yang agak berbeza daripada kewarganegaraan pada tahap kebangsaan menekan lagi keadaan di mana kaum bumiputera tidak dilayani dengan sama berdasarkan tempat asal mereka. Dari segi ini, maksud ‘menjadi seorang warganegara Malaysia’ kini lebih rapat dengan maksud ‘berasal dari Semenanjung Malaysia’ atau ‘berbangsa Melayu.’ Masyarakat-masyarakat Semenanjung Malaysia dan Sabah yang dipisahkan bukan sahaja oleh Laut Cina Selatan, bahkan juga oleh penghadan pada pergerakan rakyat Semenanjung Malaysia ke Sabah sedang mewujudkan kewarganegaraan yang berbeza bagi kedua-dua bahagian Malaysia ini. Secara ringkas, rakyat Semenanjung Malaysia dilayan sebagai ‘pendatang asing’ di Sabah dan Sarawak, sambil rakyat Sabah dan Sarawak pula dilayan sebagai ‘pendatang asing’ di Semenanjung Malaysia.

Masalah pendatang haram di Sabah
Penghijrah tetap dari Kepulauan Sulu ke Sabah datang pada hujung abad ke-15 apabila pihak penjajah Spain mula menyerang Sulu dan Tawi-Tawi di selatan Filipina. Ombak penghijrahan kedua bermula semasa perjuangan Mindanao pada tahun 1970-1977, apabila beribu-ribu penduduk Filipina melarikan diri daripada negara asal mereka akibat peperangan. Kebanyakan daripada penghijrah ini akhirnya menetap di Sandakan, Tawau dan Lahad Datu. Selepas tahun 1978, jumlah pendatang haram ke Sabah meningkat secara mendadak. Pendatang-pendatang ini tidak dianggap sebagai pelarian kerana keadaan di selatan Filipina dikatakan telah menjadi semakin baik selepas perjanjian Gerakan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dengan kerajaan Manila pada bulan September 1996. Maka, ia diperdebatkan bahawa pendatang-pendatang terbaru ini adalah penghijrah ekonomi yang mencari kehidupan yang lebih baik di Sabah.

Geografi Sabah membantu kemasukan pendatang haram ke Sabah tanpa kawalan. Sabah mempunyai persisiran pantai sepanjang 250 batu dan jaraknya yang dekat dengan perairan Filipina membenarkan penghijrah pulang-balik di antara sempadan Filipina-Malaysia. Lebih-lebih lagi, pulau-pulau di antara Sabah dan Filipina, di Laut Sulu, menjadi tempat perlindungan bagi perompak laut.  Pada hari ini, ia sudah menjadi ketahuan ramai bahawa kebanyakan penduduk Sandakan sebenarnya berasal dari Filipina, sambil pendatang asing dari Indonesia telah menjadikan Tawau sebagai destinasi mereka.

Menurut pendatang-pendatang asing ini, usaha mereka untuk menjadi ‘warganegara’ sah di Malaysia digalakkan oleh rancangan-rancangan kerajaan, atau melalui perkahwinan, perasuahan, atau mendapat status pelarian. Misalnya, pendatang-pendatang asing berkata bahawa ia sememangnya senang untuk memperolehi kad pengenalan. Misalnya, akhbar Borneo Post pernah melaporkan bahawa kad pengenalan boleh dibeli untuk RM$10.  Tidak lama selepas ketibaan mereka di timur Sabah, pendatang-pendatang ini akan berpindah ke bandar-bandar di barat Sabah, termasuklah Kota Kinabalu. Misalnya, Pulau Gaya (yang terletak berhampiran dengan perairan Kota Kinabalu) telah menjadi tapak utama bagi pendatang-pendatang baru. Walaupun kebanyakan penduduk pulau tersebut tidak mempunyai hak kewarganegaraan yang sah, Pulau Gaya mempunyai bekalan elektrik, sebuah sekolah dan sebuah masjid tersendiri.

Pelbagai perangkaan disebut untuk menjelaskan betapa ramainya pendatang asing berada di negeri Sabah.  Beberapa anggaran mengatakan bahawa jumlah pendatang asing di Sabah sudah melebihi satu juta (jumlah penduduk Sabah adalah 2.8 juta).  Jika anggaran ini benar, ia bermakna bahawa hampir satu pertiga daripada penduduk Sabah adalah pendatang asing. Lebih-lebih lagi, kebanyakan pendatang haram yang dibuang negara akan kembali dalam beberapa hari. Walaupun kes-kes jenayah dan masalah rumah setinggan adalah isu-isu penting, kaitan pendatang haram dalam pilihan raya adalah isu yang paling mendapat penyuaraan oleh penduduk tempatan dan media massa.

Haram menjadi sah
Ia memang jelas bahawa terdapatnya pegawai-pegawai kerajaan negeri Sabah yang terlibat dalam proses menjadikan pendatang-pendatang haram ke negeri Sabah penduduk ‘sah.’ Dalam tahun-tahun yang lalu, beberapa kes telah memasuki pandangan media massa, di mana calon-calon pilihanraya yang terkenal di Sabah didakwa terlibat dalam kes-kes pemalsuan kad pengenalan. Misalnya, pada tahun 1999, seorang calon parti pembangkang dari daerah Likas, Dr. Chong Eng Leong, memberitahu makhamah bagaimana beberapa orang ahli UMNO ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana pembabitan mereka dalam kes pemalsuan kad pengenalan.  Beberapa orang pegawai dari Jabatan Pendaftaran Kebangsaan juga ditahan kerana pembabitan mereka dalam kes ini. Menurut seorang daripada tahanan tersebut, sejumlah 130,000 pendatang asing diberikan kad pengenalan di bawah projek pemalsuan tersebut.  Menurutnya lagi, tujuan projek tersebut adalah untuk meningkatkan jumlah penduduk Islam di Sabah.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu akhirnya mengisytiharkan keputusan pilihan raya kerusi Likas yang diadakan pada tahun 1999 itu sebagai batal kerana terdapat “pengundi hantu yang tidak wujud dalam daftar pemilih kawasan tersebut.”  Menurut hakim yang mendengar kes tersebut, “Kewujudan pengundi bukan di kalangan warganegara dan pengundi hantu dalam daftar pemilih seperti yang disebutkan dalam perbicaraan mungkin hanya bahagian kecil daripada sesuatu yang lebih besar.”  Dr. Chong mendakwa terdapat pengundi daripada kalangan bukan rakyat Malaysia yang mengundi di kawasan Likas kerana Suruhanjaya Pilihan Raya tidak mengeluarkan nama pengundi hantu itu daripada senarai pengundi walaupun bantahan telah dibuat semasa siasatan umum sebelum pilihan raya itu.

Ini hanyalah satu kes terkenal daripada beberapa kes yang muncul di mata negara dalam beberapa tahun yang lalu. Ramai penduduk Sabah berpendapat bahawa strategi ini hanyalah cara terbaru untuk mendiamkan tuntutan-tuntutan mereka. Sememangnya, strategi seperti ini bukanlah sesuatu yang baru, tetapi pada masa apabila globalisasi sedang mencabar polisi-polisi imigrasi berdasarkan suku kaum, strategi kerajaan Barisan Nasional ini semakin mendapat perhatian. Secara lazimnya, ia mungkin dikatakan bahawa matlamat strategi ini adalah untuk mengubah demografi negeri Sabah, agar penduduk Melayu-Islam menjadi kaum yang terbesar. Oleh kerana kesamaan adat resam dan keagamaan, pendatang-pendatang asing dari Indonesia dan Filipina disambut baik oleh kerajaan Barisan Nasional di Sabah, dan lama-kelamaan pendatang-pendatang asing itu akan menjadi ‘rakyat Malaysia.’ Malah, bekas Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh, pernah berkata bahawa kaum “Kadazan akan menjadi seperti kaum Sikh di India pada hari ini, sebuah bangsa yang sentiasa di bawah pengawasan bangsa majoriti.”

Unsur Islam di kalangan pendatang-pendatang asing ke Sabah dilihat sebagai ‘alat’ yang dapat digunakan untuk mengubah corak pengundian di Sabah demi kebaikan parti-parti Melayu seperti UMNO. Misalnya, M. D. Mutalib telah mendedahkan beribu-ribu pendatang haram yang mempunyai kad pengenalan palsu dan kemungkinan besar telah mengundi dalam pilihanraya negeri.  Buku Mutalib tersebut menyeneraikan nombor-nombor kad pengenalan pendatang-pendatang haram itu, gambar-gambar mereka, dan juga nombor kad pengenalan atau pasport Filipina atau Indonesia mereka.  Malah, beberapa akhbar harian telah mendakwa bahawa pendatang-pendatang haram diberikan beras, duit dan jala ikan agar mereka mengundi untuk parti-parti tertentu semasa pilihanraya.  Kad-kad pengenalan palsu tersebut dihadiahkan dengan syarat penerima-penerimanya mengundi untuk parti-parti Barisan Nasional.

Isu kad pengenalan palsu sememangnya telah menjadi isu hangat, terutamanya di Kota Kinabalu, hasil kes-kes makhamah yang dimulakan oleh calon pembangkang. Misalnya, pada bulan November 1999, akhbar Borneo Post memaparkan kisah seorang pendatang haram yang telah mengundi dalam lima pilihanraya negeri Sabah, iaitu tiga kali di Sembulan dan dua kali di Kuala Penyu.  Menurut akhbar itu, pendatang asing tersebut tidak pernah memohon untuk kad pengenalan atau mengisi borang-borang untuk tujuan itu. Menurut beberapa pemimpin kaum-kaum peribumi di Sabah, kerajaan persekutuan dengan beberapa golongan dalam negeri ingin mendiamkan hak-hak politik kaum-kaum peribumi di negeri tersebut.  Yang jelas adalah bahawa kaum ‘Melayu asing’ yang diwujudkan dengan ‘pengesahan’ pendatang-pendatang haram dari Indonesia dan Filipina dapat membantu parti Melayu-Islam yang utama, iaitu UMNO, untuk mengekalkan penguasaannya di Sabah sambil memastikan yang parti-parti politik berteraskan kaum-kaum peribumi tidak lagi memasuki kerajaan.

Perasaan bahawa kaum-kaum peribumi di Sabah sedang dikuasai dan didiamkan oleh ‘pendatang asing,’ biarpun mereka datang dari Semenanjung Malaysia atau luar negara, begitu nyata di kalangan kumpulan-kumpulan bukan Islam di Sabah. Yang menjadi masalah adalah ancaman isu ini meletus akibat kegiatan keganasan terhadap pendatang asing, seperti yang dilihat di Indonesia semasa krisis kewangan pada tahun 1997 dan baru-baru ini di Kalimantan. Dalam pada itu, keselamatan negeri Sabah sendiri telah menjadi isu penting selepas dua kes penculikan di sempadan timur Sabah oleh kumpulan pemberontak Abu Sayyaf. Pada 23hb April 2000, 21 orang, termasuk beberapa orang pelancong asing, diculik dari Pulau Sipadan oleh kumpulan tersebut, yang berasal dari Jolo di Filipina. Kumpulan Abu Sayyaf juga bertanggungjawab untuk penculikan tiga orang rakyat Malaysia pada 10hb September 2000 dari Pulau Pandanan.  Isu ini kembali ke dalam arena media massa selepas penahanan Nur Misuari, bekas pemimpin MNLF, di Sabah pada 24hb November 2001.

Pertimbangan dari segi sosialis
Apakah punca utama yang membangkitkan persefahaman perkauman atau bangsa ini? Sememangnya, kes kebumiputeraan dan perihal perkauman di Malaysia bukanlah sesuatu yang unik di arena antarabangsa. Kita sedang menyaksikan pembangkitan semula gerakan-gerakan perkauman di merata dunia. Misalnya, sejak tahun 1990, sekurang-kurangnya 20 buah negara baru telah diwujudkan berdasarkan kaum utama dalam sesebuah masyarakat. Jelasnya, perihal perkauman telah menjadi isu utama dalam kehidupan politik dan sosial di hampir setiap benua. Di merata dunia, termasuklah di Sabah, kerajaan-kerajaan semakin mengalami kegagalan untuk menawarkan pengagihan sosial bagi golongan-golongan termiskin. Dan beberapa kawasan di dunia, seperti di Afrika, telah menyaksikan peningkatan kemiskinan dan juga penumbangan sosial yang diakibatkan oleh krisis ekonomi, dan ini tidak dapat dihalang atau diperbaiki oleh kerajaan. Dalam keadaan-keadaan seperti ini, masyarakat perkauman, yang biasanya diwujudkan oleh kuasa-kuasa penjajahan, mungkin menawarkan apa yang gagal diberikan oleh kerajaan. Rwanda memberikan contoh mengerikan di mana pembunuhan beramai-ramai pada tahun 1994 dapat dikatakan berpunca bukan sahaja dari peluahan keganasan perkauman tradisional, tetapi juga dari kesan penjajahan di Afrika Tengah.

Tekanan yang sama juga dapat dilihat bergelora di Sabah. Di mana reformasi parlimen semakin susah dicapai, terdapat dua alternatif bagi memperbaiki keadaan penduduk. Salah satu daripadanya adalah perjuangan kelas, untuk memaksa pengagihan semula kekayaan dari pihak borjuasi dan kelas pemerintah kepada kelas pekerja, atau dengan memaksa kerajaan mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan rakyat dengan meluluskan perundangan baru atau dengan meningkatkan pencukaian terhadap kaum kaya. Alternatif kedua, dan alternatif yang diterajui oleh parti-parti pembangkang seperti Parti Bersatu Sabah dan, secara umumnya, parti-parti lain seperti Keadilan, tidak menuntut pengagihan semula kekayaan dari kelas kapitalis kepada kelas pekerja – sebaliknya, mereka mencuba mengagihkan kekayaan dari satu bahagian kelas pekerja ke bahagian yang lain, atau dari satu kawasan ke kawasan yang lain, atau dari satu kaum ke kaum yang lain. Misalnya, satu penyelesaian yang biasanya dikemukan oleh parti-parti politik haluan utama adalah untuk kerajaan persekutuan mengagihkan kekayaan yang ‘dirampas’ dari Sabah kembali ke Sabah. Sebaliknya, terdapat pemimpin-pemimpin politik, seperti yang sudah dibincangkan di atas, yang menuntut pengagihan kekayaan mengikut garisan perkauman.

Strategi kedua ini mempunyai sejarah panjang di Britain, misalnya, dan bermula sejak awal tahun 1960-an lagi. Ambalavaner Sivanandan pernah membincangkan bahawa “perlumbaan untuk mendapat pertolongan dari kerajaan dan untuk pembiayaan kerajaan… pada dasar keperluan kaum dan masalah perkauman” oleh kumpulan-kumpulan minoriti selepas rusuhan bangsa Brixton pada tahun 1981.  Masalah pendekatan ini bukan sahaja perjanjian birokrasi dan pendiaman tuntutan-tuntutan radikal yang diperlukan untuk membawa perubahan sebenar, tetapi juga bahawa persaingan di antara masyarakat-masyarakat dan kaum-kaum berlainan akan terus membahagikan mereka, lalu menguatkan kelas pemerintah. Di mana pembiayaan dan pelulusan dapat dimenangi juga, ia tidak akan dinikmati oleh kelas pekerja dan rakyat jelata, kerana kelas menengah dan kaum kaya mempunyai pengaruh yang lebih besar dan secara lazimnya akan menelan apa-apa kemenangan yang diperolehi.

Perkauman dan rasisme
Masalah yang mungkin muncul dari isu-isu perkauman ini adalah bahawa golongan-golongan tertentu akan mula mengutarakan ideologi rasisme. Martin Barker, seorang ahli falsafah Marxsis telah memperdebatkan bahawa kita sedang menyaksikan penimbulan ‘rasisme baru’ yang:

… dapat menolak pencelaan: ia tidak perlu mengutarakan perkataan-perkataan seperti ‘nigger,’ ‘wog’ atau ‘coon.’ Ia tidak perlu melihat kaum Yahudi sebagai kaum yang tidak bermoral, atau kaum berkulit hitam sebagai ‘arnab hutan.’ Meskipun itu, dengan cara yang tersirat tetapi efektif, rasisme baru ini membenarkan emosi-emosi kemarahan yang kemudiannya diluahkan dengan ungkapan-ungkapan seperti ini.

Apa yang menakutkan adalah bahawa konsep ‘perkauman,’ di mana ia digunakan dari segi adat resam, semakin digantikan oleh ‘ras,’ iaitu cara untuk membina semula kategori-kategori berdasarkan ras tanpa menjadikan warna kulit atau agama isu penting. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila Perdana Menteri Malaysia menolak cadangan seseorang ahli politik dari kaum bukan Melayu-Islam menjadi Perdana Menteri.  Sememangnya, pewujudan sebuah Majlis Hubungan Ras atau Majlis Kesama-rataan Ras telah menjadi salah satu tuntutan utama bagi aktivis-aktivis di Malaysia sejak kebelakangan ini.  Lebih-lebih lagi, seorang profesor telah menyamakan sistem kebumiputeraan di Malaysia dengan sistem apartheid di Afrika Selatan dahulu.  Alex Callinicos pernah memperdebatkan bahawa ‘rasisme baru’ ini memang jelas dilihat, kerana rasisme berdasarkan biologi dan ‘kelemahan’ kaum-kaum tertentu masih kekal dalam mentaliti golongan-golongan tertentu, khususnya kelas pemerintah.  Bukti bagi kritikan-kritikan Callinicos ini memang jelas kelihatan dalam pendekatan-pendekatan yang mengatakan bahawa negeri Sabah dan Sarawak secara lazimnya tidak dapat membangun selaju negeri-negeri Semenanjung Malaysia kerana penduduknya terlalu malas atau kerana penduduknya ‘berbeza’ daripada penduduk di Kuala Lumpur.

Idea yang dimajukan oleh kelas pemerintah dan media massa ini – iaitu bahawa kaum-kaum yang berlainan di Malaysia menginginkan pemisahan pada dasar kaum atau bangsa dengan inisiatif-inisiatif sistem ekonomi dan politik – jelasnya menjadi wajah bagi ‘rasisme baru’ yang dibincangkan ini. Selagi logik perkauman wujud di minda rakyat, maka tekanan untuk menerima logik perbezaan ini akan terus kekal. Kelas pemerintah, biarpun kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur atau kerajaan pembangkang di Sabah akan terus mengutarakan konsep satu ‘kaum’ yang berkuasa di sesebuah negeri, tanpa mengira kos dan kebinasaan pada kaum-kaum yang lain. Misalnya, sambil mengutarakan masalah-masalah yang dihadapi oleh kaum-kaum peribumi di Sabah, parti-parti politik tidak pernah menghalakan pandangan kepada kaum-kaum bukan peribumi, seperti masyarakat India yang kecil di Kota Kinabalu atau minoriti kaum Cina di Tawau dan Sandakan. Begitu jugalah dengan keadaan Orang Asli di Semenanjung Malaysia.

Jika kita tidak memisahkan proses-proses yang dihimbunkan bersama di bawah ungkapan ‘kaum,’ dan menghalakan pandangan kita melintasi arena perkauman kepada proses-proses sosial yang lain, maka kelas-kelas pemerintah akan terus menggunakan isu perkauman untuk memisahkan dan membahagikan rakyat jelata. Oleh kerana ini, identiti perkauman tidak dapat dijadikan panduan tulin bagi perjuangan politik. Pembahagian berdasarkan kaum seseorang, iaitu jenis politik utama di Malaysia – di mana kebanyakan parti politik disediakan khas untuk kaum-kaum tententu – sebenarnya menarik perhatian kita, lalu memesongkan perhatian dari persamaan kita. Sambil membahagikan rakyat mengikut garisan geografi, perkauman dan keagamaan, kelas pemerintah menghalang kita daripada menerokai persamaan-persamaan yang tertera di antara kaum-kaum yang berlainan.

Bagi sosialis dan parti revolusi sosialis, matlamat kita adalah untuk menghancurkan pembahagian dan pemisahan yang semakin dihuraikan dengan ungkapan ‘kaum’ oleh kelas-kelas pemerintah dan ahli-ahli politik haluan utama. Ini hanya dapat dilakukan dengan menghancurkan penindasan rakyat yang mengakibatkan isu perkauman menunjukkan batang hidung. Ini mungkin bermakna memberi sokongan kepada kaum-kaum yang ditindas, tetapi kita juga perlu memahami bahawa konsep ‘perkauman’ adalah cara zalim untuk membahagikan penduduk sesebuah negara ke dalam kategori-kategori abstrak. Mungkin ada sesetengah orang yang membantah, lalu mengatakan bahawa kerajaan persekutuan telah mengambil langkah untuk meraikan ‘perbezaan kaum’ (ini memang jelas kelihatan dalam propaganda media massa dan kerajaan, terutamanya selepas rusuhan kaum di Semenanjung Malaysia baru-baru ini).

Tetapi realitinya adalah bahawa pembahagian rakyat mengikut garisan kaum, biarpun di antara kaum Melayu dengan Cina, Kadazan-Dusun dengan India, atau Malaysia dengan Indonesia-Filipina, hanya menyembunyikan persamaan-persamaan yang dapat menyatukan kelas pekerja (iaitu kebanyakan penduduk). Jika ini dibenarkan berterusan, isu perkauman mungkin menjadi lebih serius, seperti yang telah berlaku di kawasan Balkan, di mana kaum-kaum tertentu ‘dibasmikan’ atau dibunuh beramai-ramai. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak boleh dan tidak patut menganggap isu perkaumam sebagai sesuatu yang remeh-temeh, yang hanya dapat dipertikaikan oleh ahli-ahli politik. Unsur-unsur perkauman yang disalahgunakan oleh ahli-ahli politik akan digunakan selama-lamanya untuk membahagikan kelas pekerja dan rakyat jelata jika ia tidak dihancurkan.

Karl Marx pernah memperdebatkan bahawa idea-idea yang berkuasa dalam sesebuah masyarakat sentiasanya adalah idea-idea kelas pemerintah. Dan dari segi isu-isu yang dipertimbangkan dalam rencana ini, idea-idea ‘perkauman’ yang digunakan untuk memecahkan dan melemahkan gerakan pekerja dapat dilihat sebagai idea kelas pemerintah. Tetapi idea-idea kelas pemerintah seperti ini dapat ditumbangkan. Krisis-krisis sosial sentiasanya mewujudkan keadaan-keadaan di mana idea-idea dan realiti kehidupan membawa aliran menuju persefahaman dan perpaduan, terutamanya di kalangan pekerja. Dalam keadaan sebegini, cara-cara pemikiran lama digugurkan dan digantikan oleh idea-idea revolusioner. Misalnya, semasa revolusi Indonesia pada bulan Mei 1998, para pekerja yang berlainan agama, bangsa dan suku kaum semuanya bersatu untuk menumbangkan rejim Jeneral Suharto.

Dari segi ini, pemupukan idea-idea perkauman perlu difahami sebagai cara kelas pemerintah dan kelas kapitalis mempengaruhi rakyat jelata. Tahap pengaruh ini bergantung kepada dua faktor: tahap perjuangan kelas pekerja menentang penindasan kerajaan, dan tahap kewujudan parti revolusioner yang dapat mengutarakan idea-idea sosialis di tempat-tempat bekerja dan universiti-universiti. Untuk mengetepikan konsep-konsep kapitalis yang dihulurkan oleh kelas-kelas pemerintah, kita perlulah dahulunya menghancurkan sistem sosial yang membenarkan isu perkauman dan rasisme timbul. Sebagai sosialis, kita memperdebatkan bahawa unsur-unsur perkauman, seperti yang telah dibincangkan di atas, akan berterusan di bawah sistem kapitalis, di mana kaum kaya menjadi lebih kaya dan kaum miskin menjadi semakin miskin. Dan inilah isu yang paling penting. Ia menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menghancurkan sistem kapitalis yang melahirkan isu perkauman dan ketidaksama-rataan ini. Sudah tibanya masa untuk kita menggugurkan belenggu perkauman dan bersatu di bawah panji-panji idea revolusioner dan sosialisme. Seperti yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dalam Manifesto Komunis ,

Kaum proletariat tidak mempunyai apa-apa untuk kehilangan melainkan belenggu mereka. Mereka mempunyai dunia untuk memenangi.

Kaum pekerja sedunia, bersatulah!

DIAMBIL DARI WEB:
arts.anu.edu.au/suara/salleh5.rtf 


No comments:

Post a Comment